Skip to main content

PUSAT PEMBANGUNAN HEBAT (HDC)

Latarbelakang Pusat Pembangunan HEBAT (HDC)

Pusat Pembangunan HEBAT (HDC) ditubuhkan pada 1 Januari 2020. HDC merupakan gabungan dua buah Pusat di bawah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal, Pembangunan Pelajar dan Alumni) iaitu Pusat Pembangunan Pelajar dan Pusat Keusahawanan Universiti. Sebahagian fungsi daripada Pusat Perhubungan Alumni, Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan iaitu Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan juga telah diletakan di bawah tanggungjawab HDC. Ini bermakma, HDC bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan dalam pembangunan pelajar, keusahawanan pelajar dan kebolehpasaran graduan.

Visi HDC adalah untuk memimpin dan melestarikan Agenda HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking). Visi ini telah diterjemahkan ke Misi HDC iaitu untuk mewujudkan ekosistem kondusif dalam pembangunan pelajar HEBAT. HDC berharap nilai kebolehpasaran graduan USM dapat ditingkatkan melalui tadbir urus aktiviti pelajar yang berkualiti serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

Bagi tujuan ini, satu kerangka telah dihasilkan. Kerangka HEBAT merupakan panduan kepada warga pelajar USM untuk melibatkan diri dalam program latihan mengikut tahap sepanjang tempoh pengajian di USM. Program-program telah direka khusus melalui dua Sektor di HDC iaitu Sektor Inovasi Keusahawanan Pelajar dan Sektor Kerjaya & Kebolehpasaran Graduan HEBAT. Selain Sektor terlibat, program di bawah Pertubuhan Pelajar juga menggunakan kerangka yang sama dalam usaha untuk memperkasakan Agenda HEBAT.

Program yang direka bermula dengan tahap pembudayaan yang melibatkan program berbentuk pengetahuan dan lebih tertumpu kepada pelajar tahun satu. Pelajar seterusnya didedahkan dengan program pengukuhan yang melibatkan perkongsian ilmu. Pada peringkat seterusnya, pelajar akan didedahkan dengan program pengupayaan. Dalam tahap pengupayaan, pelajar akan mengaplikasikan pengetahuan dan perkongsian ilmu yang diperolehi dalam dua tahap sebelumnya. Antara aktiviti yang digalakkan adalah dengan membuka perniagaan/perkhidmatan sendiri.

Pada tahap akhir, pelajar seharusnya sudah mampu untuk menghayati ilmu yang dipelajari dan memantapkan diri melalui aktiviti yang diceburi sepanjang tempoh pengajian. Program yang direka dalam tahap ini memberi platform kepada pelajar untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran insaniah (soft skills). Ini dilaksanakan sebelum pelajar bergraduasi dan menjadi Alumni USM serta menakluki alam pekerjaan.

HDC turut berhasrat untuk melahirkan Alumni USM yang HEBAT. Penentuan Alumni HEBAT dilaksanakan melalui HEBAT Credentials. Lima belas atribut di bawah elemen HEBAT akan digunakan bagi menentukan graduan USM berada di kategori Platinum, Emas, Perak atau Gangsa. Secara keseluruhannya, perjalanan aktiviti bukan akademik pelajar USM ditawarkan melalui program yang direka khusus untuk menghasilkan Alumni USM HEBAT seperti digambarkan dalam Kanvas HEBAT.