Skip to main content

PUSAT PEMBANGUNAN HEBAT (HDC)

Agenda HEBAT

Agenda H.E.B.A.T merupakan satu anjakan dalam sistem pengajian USM yang memberi tumpuan kepada lima elemen anjakan iaitu Holistic (Holistik), Entrepreneurial (Keusahawanan), Balanced (Seimbang), Articulate (Artikulasi), dan Thinking (Berfikir). Selain Artikulasi, A juga dilambangkan sebagai Akhlak iaitu menunjukkan kelakuan dan tingkah laku yang baik. Agenda ini diharap mampu melahirkan Insan H.E.B.A.T berintegriti tinggi yang memenuhi kehendak pasaran semasa dan mampu memimpin negara mahupun dunia.

Agenda ini diperkenalkan bagi membentuk, membangun dan memperkasa sahsiah bakal graduan USM melalui penglibatan dalam program akademik berkredit (seliaan Bahagian Akademik dan Antrabangsa) dan aktiviti bukan akademik (seliaan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumi) yang saling berkait antara satu sama lain sebagai satu sistem bersepadu yang menyeluruh, dan bukan sekadar menyentuh aspek tertentu sahaja.

Daripada lima elemen anjakan ini, tiga elemen iaitu H.E.B merupakan anjakan yang telah diadaptasi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 (PPPMPT 2015-2025), USM telah menambah dua lagi elemen iaitu A.T bagi melahirkan Insan H.E.B.A.T yang mampu memacu tiga elemen pertama secara artikulasi iaitu penyataan idea atau perasaan terutamanya dengan kata-kata tetapi melalui teknik berfikir yang berkesan.

Lima elemen ini telah diperincikan kepada lima belas atribut seperti jadual glosari di bawah. Lima belas atribut yang perlu digilap oleh semua siswa/i USM sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan selepas menamatkan pengajian dan bergraduasi. Kesemua atribut H.E.B.A.T ini diterapkan dalam proses pengajaran, pembelajaran, pemantauan dan penilaian melalui program akademik berkredit dan aktiviti bukan akademik yang dijalankan dalam tempoh pengajian.

Program/Aktiviti di bawah Agenda H.E.B.A.T atau dikenali dengan HEBAT Flagship Programmes (HFP) direka secara dinamik bermula dengan Tahap Pembudayaan (kompetensi berbentuk pengetahuan asas), Tahap Pengukuhan (program/aktiviti perkongsian Ilmu), Tahap Pengupayaan (penghasilan idea/produk) dan Tahap Pemantapan (penghayatan sebagai contoh teladan (role-model)). Kerangka ini diselaraskan dengan Agenda Akademik USM dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainability Development Goals (SDGs))

Semua aktiviti bukan akademik sepanjang tempoh pengajian akan direkodkan melalui Sistem My Continuous Student Development (MyCSD). Data MyCSD ini akan dianalisa dan dinilai untuk memaparkan pencapaian H.E.B.A.T [Gangsa (Bronze), Perak (Silver), Emas (Gold), Platinum] melalui Sistem Neuron H.E.B.A.T Portal Campus Online. Kad skor (scorecard) melalui paparan pemuka (dashboard) H.E.B.A.T membantu siswa/i melihat pencapaian setiap semester dan membantu dalam penghasilan butir jayadiri. Kemuncak Agenda H.E.B.A.T merupakan Anugerah Pingat H.E.B.A.T yang akan dianugerahkan dalam Majlis Konvokesyen USM. Usaha anjakan sistem pengajian tinggi melalui Agenda H.E.B.A.T diharap dapat meningkatkan keterlihatan (visibility) dan keboleh pasaran siswa/i USM.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Pembangunan HEBAT (HEBAT Development Centre (HDC)), melalui talian +604-653 3460 atau e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..